Friday, March 05, 2010
Tuesday, March 02, 2010
info buai bayi
Pernahkah puan mendengar lagu mendodoikan anak atau lullaby Inggeris Rock-a bye-baby yang berbunyi seperti berikut “When the bough breaks, the cradle will fall, down will come baby, cradle and all?”
Lagu ini menceritakan bagaimana buai itu patah dan jatuh ke bawah membawa bersamanya bayi sekali. Sememangnya tiada tempat yang lebih selamat untuk menidurkan bayi selain dari baby cot.
Buaian boleh menjadi satu punca kepada kecederaan kepala bayi dan boleh mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.
Penggunaan buai untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau subdural haemorrhage.
Hakikatnya, kebanyakan kes pendarahan otak subdural yang bukan melibatkan kes penderaan boleh dikaitkan dengan penggunaan buai.
Otak bayi sebenarnya terapung dalam tengkorak dan jika bayi digerakkan dengan kuat, otak akan bergerak pada hala yang bertentangan dengan tengkorak.
Akibatnya, saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak pecah menghasilkan pendarahan otak subdural.
Henjutan buai yang perlahan-lahan itu tidak berbahaya tetapi pergerakan melantun buai dengan springnya menghasilkan pergerakan atas bawah seolah-olah seperti menggoyang bayi dalam tangan dengan kuat, menghasilkan kecederaan yang sama.
Hayunan buai juga boleh mengakibatkan kepala bayi terhantuk dinding. Pernah berlaku di mana abang kepada bayi yang berumur dua tahun yang gemar menghayun buai tidak sedar kepala bayi sedang menghentak dinding.
Ada juga kes di mana rangka besi buai jatuh menghempap bayi dan juga spring atau tali putus.
Ada juga bahaya yang lain seperti tercekik atau strangulation. Bila bayi sudah mula memusing badan ia mungkin terjaga dari tidur, memusingkan mukanya ke bawah dan leher boleh tersepit dalam lipatan kain buai.
Hentak kepala (Head banging)
Apabila anak kita mula mengamalkan tabiat hentak/hantuk kepala, kita naik risau dan bimbang mungkinkah ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak.
Dua puluh peratus daripada kanak-kanak yang sihat melalui tabiat ini seketika. Lazimnya, umur bermula setahun setengah dan berakhir secara spontan menjelang umur empat tahun.
Lelaki adalah tiga kali lebih kerap memperoleh tabiat ini daripada perempuan. Kanak-kanak yang berusia lebih empat tahun dan masih mempunyai tabiat ini haruslah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut.
Selalunya, kanak-kanak meninggalkan tabiat ini dengan sendiri ketika membesar tetapi kita boleh cuba mempercepatkan proses ini dengan mengamalkan cara sambil lewa bila ia berlaku.
Tabiat ini menjadi satu cara kanak-kanak ‘mengugut’ untuk mendapatkan sesuatu atau menarik perhatian. Apabila ia berlaku, kita mesti jangan mengalah dan mengikut segala rentak dan kemahuan mereka.
Pada ketika ia berlaku, kita mesti cuba mengalihkan perhatian kanak-kanak tersebut dan mengubahnya ke aktiviti lain.
Mujurnya, kanak-kanak yang sihat tidak akan mengalami apa-apa kecederaan yang serius dengan tabiat ini.
Rasa kesakitan mengelakkan mereka dari menghentak dengan kuat dan kanak-kanak bawah tiga tahun tidak boleh menghasilkan tekanan atau tenaga yang cukup untuk mendapatkan kerosakan otak.
Kepala kanak-kanak ini boleh menahan trauma yang menjadi kebiasaan ketika belajar jalan dan memanjat. Kanak-kanak sihat yang menghantuk atau menghentakkan kepala akan membesar menjadi remaja yang normal.
* Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.